Free Web Hosting by Netfirms
Web Hosting by Netfirms | Free Domain Names by Netfirms

Utama Biodata Kajian Buku Pelawat Forum FAQ Tips Photos

Kebahagiaan Zainuddin utamakan tolak ansur dalam keluarga

PASANGAN bahagia, Zainuddin dan Halimah melepaskan rindu dengan menatap gambar anak-anaknya.

Oleh: ROSLAH OTHMAN
SEBAGAI anak, ramai mungkin tidak mampu mengerti tangis derita ayah dan ibu membesarkan mereka sehingga dewasa. Namun, setelah anak-anak dewasa dan bergelar ibu atau ayah, pasti mereka akan akur perlakuan orang tua mereka.

Baik menyakitkan atau menyenangkan, segala tindak-tanduk ibu dan ayah sebenarnya hanya terselit satu niat - mengharapkan si anak berguna apabila dewasa.

``Tidak ada apa-apa yang diharapkan oleh seorang ayah atau ibu daripada anak-anak selain melihat mereka berjaya menjadi insan sempurna di dunia dan akhirat,'' luah Mohd. Ali Hanafiah @ Zainuddin Daud, 62.

Bagi pesara tentera yang lebih mesra dengan panggilan Pak We ini, anak-anak merupakan harta paling bernilai buatnya.

Kata Pak We, itulah sebenarnya gambaran hati seorang ayah terhadap anak-anak yang telah dibesarkan dari sekecil tapak tangan hingga dewasa.

``Sebenarnya, bukan balasan berupa harta yang diminta oleh seorang ayah daripada seorang anak, tetapi cukuplah rasa hormat dan kasih sayang di antara satu sama lain,'' jelasnya.

Tugas sebagai anggota tentera pernah membawa Pak We menjelajah ke seluruh negara dan beliau sekeluarga pernah menetap di beberapa tempat seperti di Kuching, Sarawak, Sabah, Labuan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan paling lama di Kuantan, Pahang.

Beliau yang kini menetap di kampung halaman, di Temerloh, Pahang, dikurniakan lima cahayamata hasil perkahwinannya dengan Halimah Siwi, 58.

Sebagai bapa, ketabahan Pak We pernah diuji Ilahi apabila anak sulungnya, Sabrihisham meninggal dunia pada 1987 diikuti oleh anak bongsunya, Zairi pada 1997.

Anak sulungnya, yang berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia meninggal dunia pada usia 24 tahun, begitu juga usia anak bongsu waktu meninggal.

``Penyakit yang dialami anak bongsu tidak ubah seperti penyakit abangnya dan yang tragisnya, saya menatap kematian mereka,'' katanya dalam nada sayu.

Memang sebagai seorang lelaki, Pak We tidak pernah membuka rahsia kesedihan hatinya kepada anak-anak yang lain, Shaidulkadri, 38, Shaidi, 36 dan Zumaidi, 34, apatah lagi kepada isterinya, Halimah atau mesra dipanggil Mak We.

``Saya tidak mahu anak-anak, khususnya isteri saya menyimpan duka yang berpanjangan meski pun kesedihan yang saya tanggung tidak mampu diucap dengan kata-kata,'' jelasnya.

Bercerita mengenai prinsipnya mendidik anak-anak, Pak We mengakui, corak pendidikan ibu bapa zaman dulu dan sekarang banyak bezanya. Anak-anak dulu, kata beliau, dilatih supaya takut kepada ibu bapa dan fenomena itu menyebabkan anak-anak tidak lepas laku.

Namun kata beliau, itu tidak bermakna anak-anak tidak boleh berkongsi rahsia, pengalaman dan perasaan mereka dengan orang tua.

``Setakat hari ini, anak-anak bersikap jujur dengan saya malah mereka sentiasa berterus-terang dalam segala hal,'' akuinya bangga.

Satu hal yang tidak mungkin dilupai Mak We, gaji suaminya sebagai anggota tentera waktu itu sebenarnya tidak cukup untuk menampung hidup mereka sekeluarga.

Pun begitu, Mak We bersyukur dikurniakan seorang suami yang disifatkannya sempurna kerana Pak We sentiasa berusaha untuk membahagiakan isteri dan anak-anak.

``Saya masih ingat, pulang saja dari kerja Pak We akan bercucuk tanam dan setiap inci tanah di rumah kami subur ditumbuhi sayur-sayuran,'' katanya sambil memandang redup ke wajah suami.

Mengimbau kenangan menetap di Woodlands, Singapura, kata Mak We, suaminya sanggup memesan benih keledek, ubi kayu dan sebagainya setiap kali saudara-mara mereka mahu berkunjung ke sana.

``Waktu pertama kali Pak We menerima bonus sebanyak RM1,000, saya mencadangkannya membeli tanah seluas empat ekar di kampung dan daripada empat ekar itu, Pak We kini mengerjakan kebun lebih 30 ekar milik kami,'' katanya.

Tanah seluas itu yang ditanam dengan pokok getah, dipagar dengan pokok buah-buahan yang kini membawa pulangan cukup lumayan.

Ditanya perasaannya, kata Pak We, beliau bersyukur kepada Tuhan kerana rezekinya semakin bertambah berkat ketabahannya mengerjakan tanah yang kini bukan sahaja dilimpahi hasil getah tetapi juga buah-buahan seperti cempedak, rambutan, dokong dan durian.

``Saya selalu percaya, berbudi kepada tanah, pasti akhirnya membuahkan hasil lumayan,'' katanya sambil menyifatkan setitik peluh yang gugur, balasannya umpama sebiji intan.

Dalam usia menjangkau 62 tahun, beliau kelihatan sihat, juga pada wajahnya tiada tanda-tanda menghidapi penyakit yang mungkin akan membataskan segala aktiviti hariannya.

``Kalau tidak ke kebun, lagi rasa sepi tambahan kami kini hanya tinggal berdua sahaja dan Mak We ada tanggungjawab mengajar budak-budak mengaji,'' katanya waktu ditemui Keluarga di rumahnya, di Taman Sri Semantan.

Ditanya rahsia kebahagiaan mereka, kata datuk kepada enam orang cucu ini, tanggungjawab sebagai suami dan isteri yang dilaksanakan sebaiknya merupakan penentu kebahagiaan keluarga.

``Kami tidak menggunakan formula tertentu kecuali mengamalkan sikap saling hormat menghormati dan memahami tanggungjawab masing-masing.

``Gading pastinya retak, bumi tetap ditimpa hujan dan lidah juga lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. Tetapi sebagai suami saya cuba melakukan yang terbaik untuk mengatasi segala kekalutan yang timbul,'' katanya.

Sebagai suami, Pak We mengakui, beliau tidak malu bertolak ansur dengan isterinya jika masalah itu berpunca daripada dirinya kerana itulah cara terbaik memujuk hati isteri yang sedang marah.

Selain daripada itu, bimbingan agama juga penting ke arah membentuk sebuah rumah tangga harmoni dan bahagia.

``Suami isteri perlu berusaha mewujudkan suasana harmoni dan bahagia di rumah dan kalau itu berjaya, seisi keluarga khususnya anak-anak akan merasakan bahawa rumah adalah syurga dunia mereka,'' katanya.

Dari Utusan Malaysia Online 12 Februari 2002


Sebarang pertanyaan, sila email kepada anak beliau, Zumaidi Zainuddin © 2003
Anda dipelawa utk melayari Laman Web skrip Islam di http://www.mukmin.info.